BAHAYA PENYAKIT KELAMIN PADA LELAKI

Apakah dia sifilis?
Sifilis adalah penyakit kelamin (STD) yang berjangkit, disebar melalui hubungan seks sama ada melalui vagina, dubur atau oral. Ia juga boleh disebar dari seorang ibu kepada bayinya semasa kehamilan. Sifilis disebabkan oleh bakteria Treponema pallidum. Sifilis merupakan penyakit kelamin yang berbahaya dan boleh mengancam nyawa.
Bagaimana seseorang itu dijangkiti?
Sifilis disebarkan melalui hubungan langsung dengan pesakit sifilis. Ulser/kudis sifilis berlaku terutamanya pada kawasan alat kelamin, faraj, dubur, atau di dalam rektum. Ulser juga boleh berlaku pada bibir dan di dalam mulut dan penyebaran berlaku semasa melakukan hubungan seks vagina, dubur atau oral .
Wanita hamil yang dijangkiti penyakit ini boleh menyebarkan kuman sifilis kepada bayi yang dikandungnya.
Sifilis tidak boleh merebak melalui tempat duduk tandas, tombol pintu, kolam renang, tab mandi, pakaian dikongsi, atau perkakas makan.
Apakah tanda-tanda dan gejala di kalangan orang dewasa?
Sifilis berlaku dalam 4 peringkat:
Peringkat 1: Peringkat rendah (Primary)
Satu atau lebih ulser/kudis akan kelihatan di zakar, labia (bibir faraj), dubur dan kadang-kadang pada mulut dan bibir. Ulser ini dipanggil ‘chancre’ (klik untuk imej chancre – amaran: visual sensitif) dan akan hilang selepas beberapa minggu.
Permulaan gejala peringkat pertama terjadi sekitar 10 hingga 90 hari (purata 21 hari) setelah dijangkiti kuman sifilis. Chancre biasanya bulat, keras, kecil, dan tidak menyakitkan. Ia muncul di tempat di mana sifilis memasuki badan. Chancre bertahan selama 3 hingga 6 minggu, dan akan sembuh tanpa rawatan. Walau bagaimanapun, jika rawatan tidak diberikan, jangkitan akan beralih ke peringkat 2 (secondary).
Peringkat 2: Peringkat sekunder (Secondary)
Peringkat ini biasanya bermula dengan timbulnya ruam pada satu atau lebih bahagian badan. Ruam ini biasanya tidak akan menyebabkan kegatalan dan akan keluar ketika chancre /ulser sifilis sedang sembuh atau beberapa minggu selepas chancre telah sembuh. Ciri ruam sifilis peringkat 2 adalah kelihatan kasar, merah, atau tompok-tompok coklat kemerahan di kedua-dua tapak tangan dan bahagian tapak kaki. Walau bagaimanapun, ruam mungkin tampil berbeza – nipis, tidak jelas dan berlaku pada bahagian badan yang lain, menyerupai ruam biasa sehingga ianya tidak disedari sebagai ruam sifilis.
Selain ruam, antara gejala sifilis peringkat 2 yang lain termasuk:
• demam
•bengkak kelenjar limfa
•sakit tekak
•keguguran rambut
•sakit kepala
•hilang berat badan
•sakit otot dan keletihan
Pada peringkat ini, sifilis adalah sangat mudah berjangkit dan boleh menjangkiti pasangan dengan mudah melalui hubungan seks.
Rawatan boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang peringkat 1 dan 2 dan ianya boleh sembuh. Tanpa rawatan, tanda-tanda dan gejala sifilis peringkat 2 mungkin hilang selepas beberapa minggu. Nanum jika rawatan tidak diberikan, jangkitan akan kembali dan beralih ke peringkat 3.
Peringkat 3: Peringkat pendam/sembunyi
Sifilis peringkat 3 adalah terpendam (tersembunyi) dan peringkat ini bermula apabila gejala peringkat 1 dan 2 telah hilang. Tanpa rawatan, pesakit sifilis akan terus mempunyai sifilis walaupun tiada tanda-tanda atau gejala; jangkitan adalah kekal di dalam badan. Peringkat pendam ini boleh bertahan selama bertahun-tahun, kadangkala sehingga 20 tahun sebelum beralih ke peringkat 4 iaitu peringkat lewat/akhir.
Peringkat 4: Peringkat lewat / akhir
Sifilis Peringkat 4 terjadi pada kira-kira 15% daripada mereka yang pernah dijangkiti sifilis yang tidak mendapatkan rawatan. Peringkat ini boleh muncul 10-20 tahun selepas jangkitan pertama diperolehi.
Di peringkat akhir sifilis, penyakit ini kemudiannya merosakkan organ-organ dalaman, termasuk otak, saraf, mata, jantung, saluran darah, hati, tulang dan sendi. Tanda dan gejala peringkat lewat/akhir sifilis termasuk kesukaran menyelaras pergerakan otot, lumpuh, kebas, kabur penglihatan dan buta, dan juga demensia (nyanyuk/hilang akal). Kerosakan ini boleh menjadi cukup serius sehingga menyebabkan kematian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *